Monday, May 4, 2009

ISU-ISU UTAMA PERKONGSIAN

Berdasarkan pengalaman saya sebagai perunding dan penasihat perniagaan, firma perkongsian sering menghadapi masalah sesama rakan kongsi. Sebelum anda menubuhkan firma perkongsian, perkara-perkara berikut perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan kongsi yang lain.
  • Pihak rakan kongsi, jenis perniagaan dan tempat perniagaan. Maklumat peribadi rakan kongsi yang terlibat. Jenis-jenis perniagaan yang ingin dijalankan. Tempat peniagaan dijalankan. Kadar sewa.
  • Nama perniagaan. Nama tred perniagaan atau menggunakan nama rakan kongsi.
  • Harta Perkongsian. Nyatakan aset-aset persendirian yang akan disumbangkan oleh rakan kongsi dan dinilaikan dengan matawang.
  • Modal Rakan Kongsi. Nyatakan dengan jelas berapakah sumbangan modal (dalam bentuk wang tunai) bagi setiap rakan kongsi. Kadar perkongsian untung dalam kalangan rakan kongsi (dalam bentuk peratus) adalah berdasarkan sumbangan modal sebenar rakan kongsi. Oleh itu, kadar perkongsian untung mestilah mengikut sumbangan modal rakan kongsi.
  • Akaun dan Penandatangan Cek. Nyatakan nama bank dan cawangan untuk akaun firma anda. Namakan rakan kongsi yang diberi kuasa untuk menandatangani cek. Siapakah yang ditugaskan untuk meyimpan rekod-rekod akaun dan membentangkan akaun untung dan rugi firma.
  • Perubahan Perkongsian. Tentukan cara-cara bagaimana rakan kongsi atau wasi untuk melantik orang lain sebagai rakan kongsi baru sekiranya berlaku kematian atau persaraan rakan kongsi.
  • Pewaris. Namakan pewaris yang akan menggantikan rakan kongsi yang meninggal dunia untuk memudahkan apa-apa tuntutan dikemudian hari. Adalah disyorkan supaya setiap rakan kongsi atau wasi diberi hak yang nyata untuk melantik rakan kongsi baru tanpa perlu mendapat persetujuan daripada rakan kongsi yang lain terlebih dahulu.
  • Pengurusan Firma. Menentukan rakan kongsi yang akan menguruskan firma, tugas dan tanggungjawab serta bayaran gaji bulanan. Rakan kongsi yang tidak aktif tidak berhak untuk menuntut gaji bulanan, hak mereka hanya ke atas keuntungan firma sahaja.
  • Pertukaran Kepada Syarikat. Firma perkongsian yang maju mungkin akan ditukar kepada syarikat pada masa hadapan. Adakah firma perkongsian ini akan dibubarkan? Aset-aset firma akan dinilai dalam matawang ringgit dan di tukar kepada modal berbayar syarikat. Bagimanakah modal berbayar ini dibahagikan dalam kalangan rakan kongsi (kemudiannya dipanggil pemegang syer). Adakah syarikat yang baru ditubuhkan akan menanggung hutang-hutang firma perkongsian (jika ada).
  • Pemegang Amanah. Apabila seseorang rakan kongsi meninggal dunia, kemungkinan rakan kongsi yang lain cuba bersikap tidak telus terhadap harta-harta syarikat adalah tinggi. Wasi yang dilantik oleh rakan kongsi yang meninggal dunia mungkin tidak tahu nilai harta-harta, syer-syer yang dimiliki dan nilai kontrak semasa perniagaan. Oleh itu, firma perkongsian perlu melantik seorang Pemegang Amanah untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan rakan kongsi adalah terjamin.
  • Penimbangtara. Rakan kongsi firma perkongsian perlu menyelesaikan masalah pertikaian secara yang betul; yakni dengan melantik seorang penimbangtara. Pertikaian yang timbul perlu diselesaikan menurut kaedah arbitrasi, di Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration di mana keputusan oleh Penimbangtara adalah muktamad dan mengikat rakan kongsi.
  • Pemecatan dan Persaingan. Peruntukan Akta Perkongsian 1961 menyatakan bahawa seseorang rakan kongsi tidak boleh dipecat daripada perkongsian itu. Untuk mengatasi sekatan ini, perjanjian perkongsian perlu menyatakan dengan jelas bagaimana seseorang rakan kongsi itu boleh dipecat daripada firma tersebut. Akta Perkongsian juga melarang rakan kongsi daripada menjalankan perniagaan yang sama dan bersaingan dengan firma tersebut.
  • Cara pembubaran. Perlu dinyatakan dalam perjanjian perkongsian sama ada firma perkongsian tidak terbubar jika berlakunya kamatian rakan kongsi. Jika tidak dinyatakan, maka rakan kongsi adalah terikat dengan cara-cara pembubaran yang diperuntukkan oleh Akta Perkongsian 1961.