Friday, October 2, 2009

Pengenalan Perniagaan Milik Tunggal dan Perkongsian

Kalau T idak Tahu Bertanya

Malu Bertanya Sesat Jalan

1.0 PENGENALAN

Perbincangan tentang bagaimana memilih bidang perniagaan yang sesuai untuk diceburi oleh usahawan telah dikupas dalam buku saya bertajuk Menjana Minda Usahawan. Apakah langkah-langkah yang perlu anda lakukan seterusnya? Patutkah anda menubuhkan perniagaan milik tunggal, firma perkongsian ataupun syarikat persendirian? Sebagai seorang yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan kesetiausahaan syarikat dan pengurusan perniagaan kepada lebih 400 buah syarikat bersaiz kecil dan sederhana selama lebih 20 tahun, saya dapati topik ini merupakan perkara pokok yang wajib diketahui oleh semua usahawan. Topik ini ibarat pintu gerbang alam keusahawanan, tanpanya bermaksud anda memasuki alam keusahawanan itu tanpa melalui pintunya.

Oleh itu, buku ini bertujuan memberikan anda suatu asas pengetahuan yang kukuh tentang jenis dan bentuk organisasi perniagaan yang wujud di Malaysia. Bab 1 ini akan membincangkan ciri-ciri jenis perniagaan milik tunggal dan perkongsian serta menyatakan kelebihan dan kelemahannya dari kaca mata undang-undang dan strategi perniagaan. Tidak ketingalan, Bab 1 ini juga membincangkan cara-cara penubuhan jenis-jenis perniagaan tersebut supaya para usahawan dapat suatu panduan yang tepat, menyeluruh di samping mempraktikannya. Di bahagian akhir bab ini disertakan contoh perjanjian perkongsian sebagai panduan yang amat berguna supaya dapat membantu anda dalam membuat keputusan yang betul.

1.1 MEMILIH BENTUK ORGANISASI PERNIAGAAN

Sebelum memilih bentuk organisasi perniagaan yang sesuai, adalah disyorkan anda dapatkan khidmat nasihat daripada setiausaha syarikat, peguam ataupun akauntan terlebih dahulu. Berdasarkan pengalaman saya, ramai usahawan tidak menghiraukan aspek perundingan pra-perniagaan terlebih dahulu dan mereka mengambil sikap sambil lewa sahaja. Akibatnya, mereka tidak dapat suatu bimbingan yang betul tentang perkara yang sebenarnya tentang bentuk organisasi perniagaan di peringkat awal lagi. Justeru, kegagalan membuat keputusan yang tepat untuk memilih bentuk perniagaan yang sesuai bagi perniagaan anda boleh menyebabkan anda mengalami kerugian yang besar.

Seperkara lagi, pastikan anda telah menyediakan rancangan perniagaan yang lengkap sebelum memulakan perniagaan kerana hal ini dapat menjimatkan masa, tenaga dan pembaziran wang. Belajarlah tentang cara-cara membuat rancangan perniagaan yang lengkap dengan mengikuti kursus-kursus keusahawanan. Rancangan perniagaan ibarat rangka. Bolehkah anda membina rumah tanpa rangka? Dengan adanya rancangan perniagaan, kerja-kerja anda menjadi lebih sistematik; dan anda dapat memastikan tahap perlaksanaan projek tersebut berjalan lancar. Perkara sebegini dapat memininumkan kesilapan yang melibatkan kos dan darjah kegagalan yang tinggi dapat dielakkan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa kita tidak boleh merancang segalanya dalam kepala tanpa menulisnya di atas kertas.

Organisasi perniagaan seperti koperasi tidak dibincangkan dalam buku ini memandangkan koperasi bukanlah satu bentuk perniagaan yang sesuai untuk seseorang usahawan. Pada kebiasaannya, terdapat dua bentuk organisasi perniagaan yang popular di Malaysia dan dapat dikelaskan seperti berikut:

(a) firma perniagaan yang terdiri daripada:

· perniagaan milik tunggal, dan

· perkongsian.

(b) syarikat berdaftar, yang terdiri daripada:

· syarikat terhad oleh syer

· syarikat terhad oleh jaminan

· syarikat terhad oleh syer dan jaminan

· syarikat tidak berhad

Dari sudut perundangan pula, aktiviti kedua-dua jenis organisasi perniagaan di atas tertakluk di bawah undang-undang berikut:

(a) firma perniagaan hendaklah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (disemak semula 1978). Firma ini termasuklah milik tunggal dan perkongsian.

(b) syarikat berdaftar hendaklah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.

Walau bagaimanapun, bukan semua jenis perniagaan perlu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1965. Terdapat jenis-jenis perniagaan yang dikecualikan daripada didaftarkan menurut seksyen 4 dan Jadual Pertama Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Jenis-jenis perniagaan yang dikecualikan tersebut ialah:

(a) mana-mana perniagaan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.

(b) sesuatu perniagaan yang dimiliki oleh Kerajaan atau mana-mana badan awam yang diperbadankan.

(c) sesebuah persatuan yang dikecualikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan atau syarikat kerjasama.

(d) sesebuah perniagaan yang terdiri daripada apa-apa profesyen di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis boleh dijalankan hanya oleh mereka yang memiliki kelayakan tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis tersebut.

Organisasi perniagaan yang dimaksudkan oleh seksyen 4 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 di atas termasuklah syarikat, syarikat-syarikat yang ditubuhkan di bawah akta parlimen, koperasi dan firma-firma profesional seperti peguambela dan peguamcara, juruaudit, jurutera, doktor, jurunilai dan lain-lain lagi. Oleh itu, organisasi atau firma perniagaan yang dinyatakan di atas tidak perlu mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1965.

1.1.1 Larangan ke atas Pertubuhan yang Tidak Diperbadankan Melebihi Dua Puluh Orang Ahli bagi Maksud Keuntungan

Menurut seksyen 14(3) Akta Syarikat 1965, sesebuah pertubuhan atau perkongsian tidak boleh ditubuhkan bagi maksud menjalankan atas apa-apa perniagaan yang mempunyai objektif mendapatkan keuntungan melainkan:

(a) perkongsian atau pertubuhan yang ditubuhkan itu bertujuan menjalankan apa-apa profesyen atau kerja yang diisytiharkan oleh menteri sebagai profesyen atau kerja yang tidak lazim dijalankan oleh pertubuhan atau perkongsian yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965.

(b) pertubuhan atau perkongsian itu mengandungi tidak lebih daripada 20 orang ahli.

(c) ia diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

(d) ia ditubuhkan mengikut undang-undang yang lain atau surat-surat paten.

Peruntukan statut ini melarang secara jelas organisasi-organisasi yang selain daripada milik tunggal, perkongsian, syarikat yang didaftarkan dan yang ditubuhkan mengikut undang-undang yang lain daripada menjalankan aktiviti perniagaan yang mempunyai objektif untuk mendapatkan keuntungan.

1.2 PERNIAGAAN MILIK TUNGGAL

Perniagaan jenis milik tunggal sangat mudah ditubuhkan dengan kos pendaftaran yang rendah. Perniagaan jenis ini sangat popular dalam kalangan usahawan bersaiz kecil dan mereka sendiri boleh mendaftarkannya di Suruhanjaya Syarikat ataupun melalui talian terus (internet). Dari aspek undang-undang, perjalanan perniagaan milik tunggal ini tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.

1.2.1 Tafsiran Undang-Undang

Perniagaan milik tunggal ialah sebuah perniagaan yang mempunyai seorang pemilik sahaja. Oleh itu, entiti perniagaan milik tunggal adalah sama dengan pemiliknya. Dari kaca mata undang-undang, tafsiran ini bermaksud tidak wujud entiti yang berbeza antara pemilik dan perniagaannya. Sebagai contoh, katakan firma Busana Anggun dimiliki oleh Puan Anita Rahman. Hal ini bermaksud bahawa firma Busana Anggun dan Puan Anita Rahman terdiri daripada satu entiti yang sama. Dengan erti kata yang lain, perniagaan tersebut dengan pemiliknya tidak boleh dipisahkan. Segala aset perniagaan adalah kepunyaan pemilik, dan hutang perniagaan juga merupakan tanggungan pemilik. Begitu juga perniagaan milik tunggal tidak boleh mendakwa atau didakwa oleh pemiliknya sendiri.

1.2.2 Ciri-ciri Perniagaan Milik Tunggal

Perniagaan milik tunggal bermaksud perniagaan tersebut dimiliki oleh seorang individu sahaja. Perniagaan jenis ini mempunyai tanggungan yang tidak terhad. Tanggungan yang tidak terhad bermaksud sekiranya berlaku tuntutan hutang daripada pihak bank atau pemiutang, hal ini boleh melibatkan harta peribadi yang dimiliki pemilik seperti hartanah, saham, simpanan tunai dan lain-lain untuk melangsaikan hutang-hutang perniagaan tersebut. Perniagaan milik tunggal dan perkongsian merupakan pertubuhan yang tidak diperbadankan, oleh yang demikian kedua-dua jenis perniagaan tersebut bukanlah tergolong dalam jenis entiti undang-undang yang berasingan seperti syarikat.

Di Malaysia, prosedur pendaftaran perniagaan milik tunggal ataupun perkongsian tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Badan yang mengawal selia pendaftaran perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Untuk mendaftarkan perniagaan milik tunggal, seseorang itu mestilah berumur 18 tahun ke atas. Dari segi amalannya, perniagaan jenis ini hanya dibenarkan bagi warga negara Malayasia dan pemastautin sahaja. Sesuatu perniagaan yang menyalahi undang-undang tidak boleh didaftarkan dan pengeluaran perakuan pendaftaran perniagaan tidak boleh disifatkan sebagai kehendak-kehendak mana-mana undang-undang berhubung dengan perniagaan itu telah dipatuhi[1].

Pemilik perniagaan dikehendaki mendaftarkan sendiri perniagaan mereka di SSM atau mereka juga boleh mendaftarkan perniagaan tersebut secara talian terus dengan SSM dalam tempoh 30 hari daripada tarikh menjalankan perniagaan. Setelah perniagaan didaftarkan, sijil perakuan perniagaan (Borang D) perlu diperbaharui setiap tahun, tiga tahun atau lima tahun sekali dan pembaharuan perakuan perniagaan tersebut boleh dibuat di mana-mana Pejabat Pos. Kegagalan untuk memperbaharui perakuan perniagaan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya[2]. Sijil perakuan perniagaan (Borang D) perlulah dipamerkan di premis perniagaan dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sebanyak dua ratus ringgit[3].

Terdapat juga nama sesetengah perniagaan milik tunggal dan atau perkongsian yang mungkin mengelirukan anda. Hal ini merujuk kepada nama firma perniagaan milik tunggal atau perkongsian yang mana dihujung nama tersebut diletakkan nama ‘syarikat’. Contohnya seperti Zetty Trading Company dan Rose Delima & Co. Firma-firma ini bukanlah syarikat seperti yang didefinisikan di bawah Akta Syarikat 1965. Oleh yang demikian, perniagaan tersebut adalah lebih dikenali sebagai sebuah perniagaan atau firma perniagaan sahaja dan bukannya sebuah syarikat.

1.2.3 Nama Perniagaan yang Tidak Boleh Didaftarkan

Bukan semua nama tred boleh digunakan sebagai nama perniagaan. Panduan tentang nama-nama perniagaan yang tidak boleh didaftarkan dapat dirujuk dalam kaedah 15 Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Kaedah 15 ini menyatakan, “kecuali dengan kelulusan bertulis Pendaftar, tiada perniagaan boleh didaftarkan dengan suatu nama yang:

(a) mengandungi perkataan “Diraja” atau mana-mana ungkapan persamaan yang digunakan berhubung dengan Yang DiPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, atau Raja bagi sebuah Negeri, atau mengandungi perkataan “Nasional”; atau

(b) mengandungi mana-mana perkataan yang mana pada pendapat Pendaftar mengesyorkan naungan Yang diPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Raja bagi sebuah Negeri, Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri atau suatu jabatan mana-mana Kerajaan tersebut; atau

(c) mengandungi perkataan “Chartered”, atau pada pendapat Pendaftar mengesyorkan atau bertujuan untuk mengesyorkan perhubungan dengan mana-mana pertubuhan atau badan diperbadankan oleh “Royal Charter” atau dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan; atau

(d) mengandungi perkataan “koperasi”; atau

(e) pada pendapat Pendaftar bertujuan atau mungkin mengelirukan tentang jenis; skop atau mustahaknya perniagaan dijalankan atau untuk dijalankan di bawah nama tersebut.

Sesebuah perniagaan berdaftar itu boleh ditamatkan menurut kaedah 7, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 yang memerlukan notis dua salinan dalam Borang C diserahkan kepada Pendaftar dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perniagaan itu ditamatkan oleh orang yang bertanggungjawab tentang perniagaan itu atau jika ia mati oleh seorang sekutu niaga. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan secara perkongsian, firma perkongsian tersebut terbubar jika terdapat kematian salah seorang sekutu niaga melainkan dinyatakan sebaliknya dalam surat perjanjian perkongsian.

Perniagaan Milik Tunggal sangat sesuai bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan kerana sifatnya ‘pemilik-pengurus’, mempunyai pelaboran modal yang kecil dan usahawan itu ingin mempunyai kuasa penuh dalam pengurusan perniagaannya. Sekiranya anda mempunyai kemahiran teknikal atau pengetahuan dan modal permulaan yang cukup, perniagaan milik tunggal adalah merupakan bentuk perniagaan yang sesuai. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada berkongsi dan bergantung kepada orang lain sedangkan anda mempunyai kemahiran teknikal, ilmu pengetahuan dan modal sendiri yang mencukupi.

Kebanyakan perniagaan milik tunggal akan berkembang maju pada masa hadapan. Untuk mengembangkan perniagaan mereka, sudah pasti pemilik perniagaan ini memerlukan modal tambahan yang banyak daripada pihak pelabor. Kebiasaanya, untuk pinjaman modal yang besar daripada pihak bank, mereka akan meletakkan syarat bahawa anda perlu mempunyai syarikat sendirian berhad; sebab pihak bank perlukan suatu entiti perniagaan yang berasingan daripada pemiliknya supaya dapat mengurangkan risiko ke atas hutang-hutang yang tidak dibayar oleh pemiutang. Oleh itu, anda perlu memikirkan faktor ini sejak awal lagi supaya anda dapat merancang strategi perniagaan yang lebih berkesan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, tidak semestinya perniagaan milik tunggal itu tidak boleh berkembang maju berbanding dengan syarikat sekiranya mereka mempunyai modal yang kukuh.

1.2.4 Kebaikan dan Kelemahan Perniagaan Milik Tunggal

Seseorang usahawan juga perlu mengetahui tentang ciri-ciri firma perniagaan yang mereka inginkan. Oleh yang demikian, berikut dinyatakan ciri-ciri kebaikan dan kelemahan perniagaan milik tunggal sebagai satu panduan strategik dalam membuat keputusan untuk memilih jenis organisasi perniagaan yang sesuai dengan anda.

Kebaikan Perniagaan Milik Tunggal

1. Mudah ditubuhkan dengan perbelanjaan penubuhan yang agak rendah.

2. Pemilik mempunyai kuasa dan kawalan perniagaan yang penuh.

3. Kesemua untung perniagaan adalah kepunyaan pemilik.

4. Kadar cukai pendapatan yang rendah dan mengikut kadar cukai pendapatan individu.

5. Tidak perlu melaporkan Penyatakan Kewangan setiap tahun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

6. Hubungan pemilik-pelanggan lebih rapat.

Kelemahan Perniagaan Milik Tunggal

1. Perniagaan dan pemilik mempunyai entiti yang sama. Oleh itu, pemilik mempunyai tanggungan yang tidak terhad ke atas semua hutang piutang perniagaan.

2. Sukar bagi pemilik untuk mendapatkan pinjaman yang besar daripada institusi kewangan atau pihak pelabor yang lain.

3. Jika pemilik hilang keupayaan, kemungkinan perniagaan akan gagal.

4. Semua kuasa dan kawalan perniagaan di tangan pemilik, oleh itu beban kerja yang ditanggung adalah berat.

5. Mati pemilik, matilah perniagaannya. Oleh itu tidak wujud konsep warisan yang berterusan seperti syarikat.

1.3 FIRMA PERKONGSIAN

Sepertimana dengan perniagaan milik tunggal, firma perkongsian juga sesuai dijalankan bagi perniagaan yang bersaiz kecil dan sederhana. Organisasi perniagaan jenis ini juga popular kerana proses penubuhannya yang mudah di samping kos penubuhannya yang agak rendah dan boleh ditubuhkan oleh pekongsi-pekongsi sendiri.

1.3.1 Tafsiran Undang-Undang

Perjalanan firma perkongsian di Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961. Namun begitu, pendaftaran perniagaan perkongsian adalah terletak di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-kaedah. Namun begitu, bagi ahli-ahli profesional pula, mereka dikecualikan daripada mendaftarkan firma perkongsian mereka menurut seksyen 4 dan Jadual Pertama Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Ahli-ahli profesional boleh mendaftarkan perniagaan mereka melalui badan-badan profesional yang dianggotai oleh mereka sendiri seperti Bar Council, Malaysian Institute Of Accountant, Persatuan Arkitek Malaysia, Malaysian Medical Association dan lain-lain lagi.

Apakah yang dikatakan firma perkongsian itu? Dalam Akta Perkongsian 1961, perkongsian bermaksud “Perhubungan yang wujud antara orang-orang yang menjalankan perniagaan bersama bagi maksud mendapatkan keuntungan”. Pada umumnya, undang-undang perkongsian adalah juga merupakan undang-undang kontrak, oleh itu Akta Kontrak 1950 dan undang-undang kontrak adalah diterima pakai dalam undang-undang perkongsian. Daripada definisi ini, terdapat tiga unsur penting dalam perkongsian seperti berikut:

1. perniagaan

2. dijalankan bersama-sama

3. untuk mendapatkan keuntungan

Dalam seksyen 2 Akta Perkongsian 1961, perniagaan didefinisikan sebagai ‘termasuklah sebarang perdagangan, pekerjaan atau profesyen’. Definisi ini bermaksud, sesebuah perniagaan itu mestilah merupakan suatu usaha perdagangan berbentuk jual beli barang atau perkhidmatan untuk mendapatkan pulangan. Justeru, firma perkongsian tidak boleh dijalankan untuk tujuan-tujuan yang bukan berbentuk perniagaan seperti badan amal dan kebajikan. Bagi organisasi yang ditubuhkan bukan bermotifkan untuk mendapatkan keuntungan, mereka boleh mendaftarkannya di pejabat perdaftar pertubuhan.

Perkongsian juga mestilah dijalankan bersama-sama oleh dua orang atau lebih pekongsi-pekongsi atau sekutu niaga. Oleh itu, jika perniagaan itu dijalankan kurang daripada dua orang, maka tidak wujudlah perkongsian dan perhubungan antara pekongsi-pekongsi. Rangkai kata “untuk mendapatkan keuntungan” bermaksud, firma perkongsian tersebut mestilah bermotifkan keuntungan, walaupun tidak semestinya perniagaan yang akan dijalankan tersebut mendapat keuntungan. Jelaslah bahawa rangkai kata ini hanyalah merupakan niat perkongsian tersebut dan bukannya bermaksud perkongsian untung bagi setiap pekongsi. Dengan erti kata yang lain, perkongsian tersebut perlu dijalankan bersama-sama tetapi bukannya keuntungan tersebut yang menjadi perkara asas kepada perkogsian.

“Perhubungan” merupakan perkataan yang terdapat dalam definisi perkongsian, yang menggambarkan wujudnya persetujuan bersama dalam kalangan pekongsi-pekongsi. Perhubungan dalam kalangan pekongsi-pekongsi ini pula boleh wujud sama ada secara nyata atau tersirat; dan perhubungan inilah yang dikatakan sebagai suatu kontrak yang terhasil daripada perkongsian. Orang-orang yang mewujudkan perkongsian sesama mereka, adalah bagi maksud-maksud Akta ini, secara bersama disebut sebuah firma, dan nama perniagaan mereka dijalankan disebut dengan nama firma[4]. Lazimnya, bilangan ahli dalam perkongsian ialah 2 hingga 20 orang walaupun dalam Akta Perkongsian 1961 tidak menyatakan had maksimum bilangan pekongsi-pekongsi. Namun begitu, Akta Syarikat melarang sesebuah firma perkongsian yang bertujuan menjalankan perniagaan sekiranya bilangan pekongsi-pekongsi melebihi 20 orang[5]. Sekiranya bilangan ahli firma perkongsian lebih daripada 20 orang, firma tersebut adalah dikatakan kewujudannya tidak sah sejak dari mula lagi (void ab initio). Kesannya, firma ini tidak boleh mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak kerana kewujudannya yang telah batal sejak mula lagi.

1.3.2 Ciri-ciri Firma Perkongsian

Pemilik firma perkongsian adalah terdiri daripada ahli pekongsi-pekongsi tersebut. Pekongsi-pekongsi ini akan mengeluarkan modal mengikut kadar yang telah dipersetujui masing-masing. Pekongsi-pekongsi pula terdiri daripada pekongsi aktif dan pekongsi lelap. Pekongsi aktif adalah mereka yang menjalankan atau mengendalikan perniagaan sepenuh masa, manakala pekongsi lelap adalah mereka yang mengeluarkan modal tetapi tidak mengambil bahagian dalam aktiviti pengurusan perniagaan tersebut.

Firma perkongsian tidak memiliki entiti undang-undang yang berasingan seperti mana syarikat. Oleh itu, firma perkongsian tidak mempunyai keupayaan untuk berkontrak, menggaji pekerja, melakukan jenayah dan juga disaman. Dengan erti kata yang lain, harta dan tanggungan firma merupakan harta dan tanggungan pekongsi-pekongsi. Setiap pekongsi-pekongsi firma mempunyai tanggungan yang tidak terhad ke atas segala hutang piutang yang ditanggung oleh firma. Semua pekongsi akan berkongsi untung atau rugi dan tanggungan perniagaan sama rata melainkan dinyatakan sebaliknya dalam perjanjian perkongsian.

Setiap pekongsi juga merupakan agen kepada rakan kongsi yang lain dalam menjalankan perniagaan. Tindakan pekongsi-pekongsi firma dalam perniagaan boleh menyebabkan pekongsi yang lain juga bertanggungan. Kesimpulannya, perkongsian hanyalah merupakan perhubungan yang jika wujud, mentadbirkan hak serta kewajipan dalam kalangan pekongsi-pekongsi dan perhubungan mereka dengan masyarakat keseluruhannya. Oleh yang demikian, firma perkogsian tidak mempunyai entitinya sendiri menurut undang-undang.

Menubuhkan firma perkongsian agak rumit sedikit kerana melibatkan aspek perundangan dan persetujuan bersama dalam kalangan pekongsi-pekongsi. Pada peringkat awal, hubungan antara pekongsi-pekongsi firma didapati baik dan lancar. Namun, perhubungan ini boleh menjadi permusuhan sekiranya perkongsian itu tidak diuruskan dengan baik oleh pekongsi-pekongsi. Oleh itu, anda perlulah dapatkan khidmat nasihat daripada setiausaha syarikat atau pengamal undang-undang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah firma perkongsian.

1.3.3 Kelebihan dan Kelemahan Firma Perkongsian

Berikut adalah beberapa fakta tentang kelebihan dan kelemahan firma perkongsian sebagai panduan dalam membuat keputusan memilih organisasi perniagaan yang sesuai.

Kelebihan Firma Perkongsian

1. Mudah ditubuhkan dan ditamatkan serta kos penubuhan yang rendah.

2. Semua pekongsi boleh mengambil bahagian sepenuh masa dalam pengurusan firma.

3. Cukai pendapatan dikenakan kepada setiap pekongsi berdasarkan cukai individu; dan kadar cukai ini adalah rendah berbanding dengan cukai syarikat.

4. Penyata Kewangan tidak perlu diaudit dan tidak perlu diserah simpan kepada Suruhanjaya Syarikat.

5. Modal firma boleh ditingkatkan melalui tambahan modal atau pinjaman daripada pekongsi-pekongsi.

Kelemahan Firma Perkongsian

1. Tidak mempunyai status undang-undang tertentu seperti syarikat. Hal ini bermaksud harta dan tanggungan firma dan pekongsi-pekongsi adalah sama.

2. Pekongsi-pekongsi mempunyai tanggungan yang tidak terhad ke atas semua hutang piutang perniagaan. Harta dan tanggungan firma merupakan harta dan tanggungan pekongsi-pekongsi.

3. Jika salah seorang pemilik meninggal dunia, maka matilah firma tersebut kecuali dinyatakan sebaliknya dalam perjanjian perkongsian.

4. Harta dipindahkan kepada orang lain tertakluk kepada persetujuan rakan kongsi yang lain.

5. Setiap pekongsi dicukai secara individu menurut gaji dan keuntungan yang diterima dari firma tersebut; dan tidak ada cukai pendapatan ke atas firma perkongsian.

6. Masalah pekongsi seperti tidak sefahaman, perbezaan pendapat dan matlamat, perasaan hasad dengki dan iri hati dalam kalangan pekongsi-pekongsi dapat membunuh perniagaan yang berdaya maju.

7. Sukar untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada institusi kewangan kerana tanggungan ahli yang tidak terhad serta memerlukan penjamin.

8. Rumit untuk menetapkan gaji pekongsi-pekongsi aktif dan ini selalu menimbulkan pergaduhan atau pergeseran dengan pekongsi-pekongsi lelap.

9. Tidak boleh memiliki aset atas nama perniagaan.

1.4 ISU-ISU UTAMA PERKONGSIAN

Terdapat pelbagai isu penting yang timbul dalam kalangan pekongsi-pekongsi dalam firma perkongsian. Isu-isu ini perlu jelas dan dipersetujui bersama dalam proses membentuk sebuah Perjanjian Perkongsian yang adil dan saksama. Sekiranya tiada perjanjian perkongsian dibuat, maka segala peruntukan dalam Akta Perkongsian 1961 adalah terpakai. Perjanjian bertulis ini sangat penting bagi menyatakan dengan jelas perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh pekongsi-pekongsi terutamanya dari segi urus tadbir firma perkongsian tersebut. Kejayaan anda menangani isu-isu perkongsian yang penting ini sudah pasti akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit kemudian hari. Isu-isu penting perkongsian yang perlu dibincangkan oleh pekongsi-pekongsi adalah seperti berikut:

1. Pihak-pihak Pekongsi, Jenis Perniagaan dan Tempat Perniagaan

· Nama, alamat, nombor kad pengenalan pekongsi-pekongsi yang terlibat.

· Jenis-jenis perniagaan yang dijalankan.

· Tempat perniagaan dijalankan, rekod perkongsian dan buku-buku akaun disimpan.

2. Nama Perniagaan

· Nama perniagaan boleh terdiri daripada nama-nama pekongsi ataupun nama tred. Contohnya, Haikal dan Luqman berkongsi niaga dan menamakan perniagaan mereka sebagai Haikal Luqman Enterprise.

· Nama tred bermaksud nama perniagaan selain daripada nama pekongsi-pekongsi, tertakluk kepada kelulusan Pendaftar Perniagaan. Contohnya seperti Kita Edar Enterprise, Perniagaan Terus Maju, Bina Mantap dan lain-lain lagi.

· Nama-nama perniagaan hendaklah mematuhi kaedah 15 dalam Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.

3. Tempoh Perkongsian

· Sebutkan tempoh perkongsian dengan nyata dan jelas.

· Sekiranya perkongsian itu tidak menyatakan tempoh, setiap pekongsinya mempunyai hak untuk membubarkannya pada bila-bila masa.

4. Cara-cara Pembubaran

· Jika tiada Perjanjian Perkongsian dibuat, pekongsi-pekongsi adalah terikat dengan cara-cara pembubaran yang diperuntukkan oleh Akta Perkongsian 1961, Bahagian V.

· Perlu dinyatakan dalam Perjanjian Perkongsian bahawa perniagaan tidak terbubar sekiranya berlaku kematian atau kebankrapan mana-mana pekongsi seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Akta.

5. Harta Perkongsian

· Pekongsi-pekongsi perlulah mengenalpasti apakah aset-aset yang dianggap sebagai harta perkongsian dan yang mana bukan, terutamanya harta-harta persendirian yang dibawa masuk ke dalam perniagaan.

6. Modal Pekongsi-pekongsi

· Nyatakan dengan jelas berapakah sumbangan modal dalam bentuk wang ringgit bagi setiap pekongsi.

· Sekiranya modal yang dibawa masuk berbentuk aset tetap, nyatakan nilai modal tersebut dalam bentuk wang ringgit.

· Nyatakan dengan jelas peratus perkongsian untung setiap pekongsi dan bagaimana keuntungan tersebut diagihkan.

· Sebutkan kaedah agihan modal pekongsi sekiranya berlaku pembubaran. Sekiranya tidak disebutkan dalam perjanjian, peruntukan Akta menyatakan selepas pembubaran modal itu akan diagihkan sama rata dalam kalangan pekongsi tanpa mengira peratus sumbangan modal awal mereka.

7. Akaun dan Penandatangan Cek

· Nyatakan nama bank dan cawangan manakah akaun perniagaan akan dibuka.

· Nyatakan pekongsi yang diberi kuasa menandatangani cek-cek firma dan siapakah diamanahkan untuk menjaga atau menyimpan akaun tersebut.

8. Perubahan kepada Perkongsian

· Tentukan cara-cara bagaimana pekongsi atau wasi untuk melantik orang lain sebagai pekongsi sekiranya berlaku persaraan ataupun kematian.

· Adalah disyorkan supaya setiap pekongsi atau wasi diberi hak yang nyata untuk melantik pekongsi baru untuk memudahkan perubahan keanggotaan dalam perkongsian tersebut tanpa perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada pekongsi-pekongsi lain.

· Namakan wasi-wasi, nombor kad pengenalan dan alamat bagi setiap pekongsi sekiranya berlaku kematian.

· Jika perkara-perkara di atas tidak dinyatakan dalam perjanjian perkongsian, peruntukan Akta Perkongsian 1961 menyatakan persetujuan semua pekongsi diperlukan bagi kemasukan pekongsi baru.

9. Pengurusan Perniagaan

· Peruntukan Akta Perkongsian 1961 memberikan hak ke atas semua pekongsi untuk mengambil bahagian dalam pengurusan firma. Oleh itu, perjanjian perkongsian mestilah menyatakan secara khusus bagaimana perniagaan tersebut diuruskan; menentukan pekongsi yang akan menguruskan perniagaan, tugas dan tanggung jawab pekongsi, bayaran gaji bulanan dan lain-lain.

· Pekongsi lelap perlu memahami bahawa mereka hanya berhak berkongsi ke atas keuntungan firma itu sahaja.

· Ataupun firma itu melantik seseorang yang lain (bukan pekongsi) sebagai pengurus sepenuh masa.

10. Pertukaran kepada Syarikat Sendirian Berhad

· Nyatakan adakah firma akan diteruskan atau dibubarkan sekiranya ditukarkan kepada syarikat sendirian berhad.

· Menetukan nilai aset-aset firma yang akan dibawa masuk ke dalam syarikat dan menilai semula aset firma tersebut dalam matawang ringgit.

· Bagaimana liabiliti firma (jika ada) akan dilangsaikan, sekiranya ditukarkan kepada syarikat.

10. Pemegang Amanah

· Apabila seorang pekongsi meninggal dunia, kemungkinan pekongsi yang lain cuba bersikap tidak telus terhadap harta-harta syarikat adalah tinggi. Wasi yang dilantik oleh pekongsi yang meninggal dunia mungkin tidak tahu berkenaan dengan nilai harta-harta, saham dan kontrak perniagaan semasa.

· Oleh itu firma perlu melantik seorang pemegang amanah (badan pemegang amanah) untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan pekongsi-pekongsi adalah terjamin. Pekongsi boleh melantik Amanah Raya Berhad atau lain-lain badan sebagai pemegang amanah bagi firma mereka.

11. Penimbangtara (Arbitrator)

· Dalam firm perkongsian akan wujud pertikaian dalam kalangan pekongsi-pekongsinya. Sekiranya pertikaian itu disebabkan tingkah laku pekongsi yang tidak jujur, maka pekongsi tersebut hendaklah menarik diri. Namun, sekiranya terdapat pertikaian yang tidak dapat diselesaikan, pekongsi-pekongsi perlu melantik Penimbangtara untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

· Sebarang pertikaian dalam kalangan rakan kongsi akan dirujuk kepada dan diselesaikan menurut arbitrasi di Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration. Keputusan yang dibuat oleh Penimbangtara adalah muktamad dan mengikat semua pekongsi.

12. Pengusiran dan Persaingan

· Peruntukan dalam Akta Perkongsian 1961 menyatakan bahawa seorang pekongsi tidak boleh diusir keluar daripada perkongsian itu.

· Untuk mengatasi sekatan ini, perjanjian perkongsian perlu menyatakan dengan jelas keadaan-keadaan bagaimana pekongsi itu boleh di pecat dan diusir daripada firma itu. Contohnya, pekongsi-pekongsi yang melakukan jenayah kolar putih ataupun perkara lain yang bertentangan dengan undang-undang hendaklah menarik diri dari perkongsian tersebut secara sukarela.

· Akta Perkongsian 1961 juga melarang mana-mana pekongsi menjalankan perniagaan yang sama dan bersaingan dengan perniagaan yang dijalankan oleh firma tersebut. Jika sekatan ini tidak diingini, pekongsi boleh membuat peruntukan yang berlainan dalam perjanjian perkongsian.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai setiausaha syarikat, firma perkongsian mempunyai banyak kerenah yang datangnya daripada pekongsi-pekongsi itu sendiri. Oleh itu, adalah diingatkan supaya anda tidak mengambil jalan mudah jika anda ingin menubuhkan firma perkongsian. Sebelum berkongsi, berbincanglah secara mendalam bersama-sama dengan pekongsi-pekogsi yang lain berdasarkan 13 isu-isu di atas. Panduan tersebut amat berguna demi memastikan kejayaan dan hayat firma anda akan wujud berpanjangan.

1.5 KUASA DAN TANGGUNGAN PEKONGSI-PEKONGSI

Dalam firma perkongsian, setiap pekongsi perlu mengetahui ataupun diberitahu tentang kuasa dan tanggungan mereka. Oleh itu, pekongsi-pekongsi dalam firma perkongsian mempunyai perhubungan dengan:

  • orang luar ataupun dengan pihak ketiga, dan
  • pekongsi-pekongsi lain dalam firma tersebut.

Akta Perkongsian 1961 merangkumi tanggungan dalam dua bentuk; yakni tanggungan kontrak dan kesalahan-kesalahan sivil. Tanggungan seseorang pekongsi disebabkan oleh tindakan pekongsi yang lain adalah berkisar dalam kedua-dua bentuk tanggungan tersebut. Dalam undang-undang lazim, undang-undang perkongsian adalah merupakan satu cabang daripada undang-undang umum agensi, yakni perhubungan antara ejen dan prinsipal. Prinsip asas perhubungan ejen dan prinsipal ini wujud kerana ejen mempunyai tanggungan fidusiari kepada prinsipalnya tetapi prinsipal tidak mempunyai tanggungan fidusiari ke atas agen. Menurut seksyen 7 Akta Perkongsian, setiap pekongsi adalah merupakan ejen atau wakil kepada pekongsi yang lain dan kuasa pekongsi ini adalah mengikat firma. Secara khususnya, seksyen 7 ini menyatakan kuasa pekongsi-pekongsi seperti berikut:

“setiap pekongsi adalah wakil bagi firma dan pekongsi-pekongsinya yang lain bagi maksud perniagaan perkongsian itu: dan tindakan-tindakan setiap pekongsi yang melakukan apa-apa tindakan untuk menjalankan secara yang lazim jenis perniagaan yang dijalankan oleh firma itu yang mana dia menjadi ahli adalah mengikat firma dan pekongsi-pekongsinya, kecuali jika pekongsi yang bertindak itu pada hakikatnya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak untuk firma dalam perkara tertentu, dan orang dengan siapa dia berurusan itu tahu bahawa dia tidak mepunyai kuasa atau tidak tahu atau percaya bahawa dia seorang pekongsi”.

Dengan erti kata yang lain, setiap pekongsi bukan sahaja ejen malahan juga adalah prinsipal, oleh itu tanggungan setiap pekongsi juga akan dikongsi sama rata dengan pekongsi-pekongsi yang lain. Sebagai contohnya, jika Ali, Bala dan Chong adalah tiga orang pekongsi yang menjalankan perniagaan dan Ali membuat pesanan belian daripada Diana dan Diana telah menghantar barang tersebut tetapi tidak menerima bayaran daripada mereka. Bagaimanakah Diana boleh menuntut bayaran daripada Bala dan Chong? Oleh sebab Ali adalah ejen kepada Bala dan Chong yang juga merupakan prinsipalnya, maka tindakan Ali boleh mengikat Bala dan Chong dalam mana-mana kontrak dengan syarat Ali bertindak dalam lingkungan kuasanya.

Seringkali berlaku pertikaian dalam kalangan rakan kongsi apabila tidak wujud lagi persefahaman seperti dahulu, terutamanya apabila perniagaan sudah mula menampakkan hasil. Oleh yang demikian terdapat kecenderungan bagi rakan kongsi untuk memecat atau mengeluarkan seseorang rakan kongsi yang lain. Namun begitu, tiada peruntukan khusus dalam undang-undang perkongsian untuk memecat atau mengeluarkan seseorang rakan kongsi, kecuali ia dinyatakan secara bertulis dalam perjanjian perkongsian. Seksyen 27 menyatakan tentang pengusiran seseorang pekongsi seperti berikut:

“seseorang pekongsi tidak boleh diusir daripada perkongsian oleh majoriti pekongsi-pekongsi kecuali jika kuasa untuk berbuat demikian diberi oleh perjanjian nyata antara pekongsi-pekongsi”.

Untuk memastikan supaya perniagaan dapat dijalankan berpanjangan, maka perjanjian perkongsian mestilah menyatakan dengan jelas bahawa pekongsi-pekongsi boleh dipecat oleh pekongsi-pekongsi yang lain sekiranya pekongsi tersebut melakukan perkara-perkara yang berkonflik dengan kepentingan perniagaan seperti menjalankan perniagaan jenis yang sama tanpa kebenaran pekongsi lain atau melakukan kesalahan-kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang (contohnya; jenayah kolar putih). Pekongsi-pekongsi yang melakukan kesalahan tersebut perlu menarik diri secara sukarela tanpa perlu pekongsi-pekongsi lain mengambil tindakan memecatnya.

Hak dan kewajipan sesama pekongsi boleh dibentuk secara bertulis dalam perjanjian perkongsian. Perhubungan antara pekongsi-pekongsi dalam firma dinyatakan dalam Bahgian IV, seksyen 21 hingga seksyen 33 Akta Perkongsian. Seksyen 21 menyatakan bahawa:

“Hak dan kewajipan sesama pekongsi-pekongsi sama ada ditentukan melalui perjanjian atau diperuntukkan oleh Akta ini, boleh diubah dengan persetujuan semua pekongsi, dan persetujuan ini boleh secara nyata atau disimpulkan daripada perjalanan sesuatu urusan”.

Dalam peruntukan ini, terdapat dua ungkapan hak dan kewajipan pekongsi-pekongsi yakni; sama ada tertakluk kepada perjanjian perkongsian atau jika tidak wujud perjanjian perkongsian itu, maka Akta Perkongsian itu terpakai dengan sendiri. Dengan erti kata lain, sekiranya tidak ada perjanjian perkongsian dalam kalangan pekongsi-pekongsi dibuat, maka kaedah dan peruntukan yang termaktub dalam undang-undang perkongsian adalah terpakai. Peruntukan ini juga membenarkan pekongsi-pekongsi untuk mengubah perjanjian perkongsian ataupun peruntukan dalam Akta dengan mendapat persetujuan daripada semua pekongsi.

Oleh sebab firma perkongsian tergolong dalam jenis kontrak “suci hati”, maka pekongsi-pekongsi wajib berlaku jujur dengan pekongsi lain dan juga firma itu. Prinsip berlaku jujur ini diakui oleh undang-undang lazim dan juga dalam Akta Perkongsian itu sendiri. Secara khususnya, seksyen 30, 31 dan 32 menyatakan keperluan bersikap jujur dalam kalangan pekongsi-pekongsi. Keperluan bersikap merangkumi:

· pekongsi-pekongsi diwajibkan memberi akaun yang betul.

· pekongsi-pekongsi perlu menyerahkan kepada firma sebarang faedah yang diterimanya.

· urusan-urusan yang dilakukan selepas sesuatu perkongsian dibubar dengan sebab kematian seorang pekongsi.

· pekongsi-pekongsi tidak boleh menjalankan perniagaan yang sejenis dan bersaingan dengan perniagaan yang dijalankan oleh firma; dia mestilah menyerahkan kepada firma segala keuntungan yang diperolehinya daripada perniagaan tersebut.

1.6 PENAMATAN DAN PEMBUBARAN PERKONGSIAN

Sesuatu firma perkongsian itu boleh ditamatkan secara sukarela oleh pekongsi-pekongsinya ataupun dibubarkan mengikut peruntukan undang-undang perkongsian. Penamatan atau penutupan firma perkongsian oleh pekongsi-pekongsi secara suka rela adalah menurut Kaedah 7 (Borang C), dan dibincangkan dalam bahagian 1.7.3. Walau bagaimanapun, firma perkongsian boleh dibubarkan atau terbubar (yang mempunyai surat Perjanjian Perkongsian) disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

1. Tertakluk kepada sebarang perjanjian perkongsian, di mana sesuatu perkongsian dibubar apabila[6];

o sesuatu perkongsian itu luput jika ditubuhkan menurut tempoh yang telah ditetapkan.

o sesuatu perkongsian itu ditamatkan jika ditubuhkan bagi satu usaha atau pekerjaan itu telah tamat.

2. Tertakluk kepada sebarang perjanjian perkongsian, perkongsian adalah dibubar terhadap semua pekongsi apabila terdapat mana-mana pekongsi yang meninggal dunia ataupun muflis[7]. Pembubaran ini dikatakan berlaku secara automatik; yakni pekongsi-pekongsi tidak perlu melakukan apa-apapun untuk menamatkan perkongsian.

3. Pekongsi membenarkan bahagian dalam harta perkongsiannya dicagar di bawah Akta Perkongsian bagi hutangnya yang berasingan[8].

4. Pembubaran Melalui Notis

Jika sesebuah perkongsian itu ditubuhkan bagi tempoh yang tidak ditetapkan, maka mana-mana pekongsi boleh membubarkannya dengan memberikan notis kepada pekongsi-pekongsi yang lain tentang tujuannya untuk membubarkan perkongsian[9]. Perkongsian dibubar mulai dari tarikh yang disebut dalam notis itu, dan jika tarikh pembubaran tidak disebut dalam notis tersebut maka pembubaran berlaku pada tarikh notis itu disampaikan[10].

5. Pembubaran oleh Mahkamah

Mahkamah juga boleh membubarkan sesebuah firma perkongsian atas permohonan seseorang pekongsi. Mahkamah boleh memerintahkan pembubaran perkongsian itu dalam mana-mana satu keadaan berikut[11].

· Pekongsi yang hilang akal

· Hilang keupayaan kekal

· Kelakuan yang memudaratkan perniagaan

· Perlanggaran syarat Perjanjian Perkongsian secara sengaja atau berturut-turut oleh pekongsi

· Perkongsian mendatangkan kerugian

· Adil dan saksama sesama pekongsi

Bahagian yang berikut ini akan membincangkan prosedur-prosedur penubuhan perniagaan baru milik tunggal dan perkongsian. Prosedur-prosedur ini merangkumi beberapa peringkat; yakni carian nama, pendaftaran perniagaan, pendaftaran perubahan maklumat perniagaan, pembaharuan pendaftaran perniagaan dan juga penamatan perniagaan.

1.7 Prosedur Penubuhan Perniagaaan Baru Milik Tunggal dan Perkongsian

Sebagai seorang usahawan, anda perlu tahu cara-cara untuk menubuhkan perniagaan milik tunggal dan juga firma perkongsian. Adalah lebih baik jika anda pergi mendaftarkan perniagaan sendiri di Suruhanjaya Syarikat Malaysia ataupun mendaftarkannya secara talian terus melalui internet. Di bawah ini diterangkan peringkat-peringkat penubuhan perniagaan milik tunggal dan juga perkongsian.

1.7.1 Prosedur Penubuhan Perniagaan

Terdapat tiga peringkat yang perlu dilalui oleh usahawan dalam proses untuk menubuhkan perniagaan. Peringkat 1, carian nama; Peringkat 2, Pendaftaran Perniagaan Baru dan Peringkat 3, Sijil Pendaftaran Perniagaan. Berikut dinyatakan proses-proses yang perlu dilalui oleh usahawan bagi setiap peringkat.

Peringkat 1: Carian Nama

Dapatkan kelulusan nama yang dicadangkan daripada SSM terlebih dahlu. Isikan borang PNA 42 jika menggunakan nama dagangan. Contoh nama dagangan ialah seperti, Restoran Limau Purut, Cepat Printing, Busana Anggun dan lain-lain. Jika perniagaan tersebut menggunakan nama anda sendiri seperti dalam kad pengenalan, anda dikecualikan daripada memohon kelulusan nama perniagaan tersebut. Contohnya; jika nama anda seperti dalam kad pengenalan ialah NORMA BINTI NORDIN, nama perniagaan juga ialah NORMA BINTI NORDIN. Namun begitu, anda tidak dibenarkan untuk menggunakan nama NORMA sahaja sebagai nama perniagaan. Sesebuah perniagaan hendaklah didaftarkan tidak melebihi 30 hari dari tarikh perniagaan tersebut dijalankan.

Peringkat 2: Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A)

Setelah nama perniagaan yang dicadangkan tersebut diluluskan oleh SSM, permohonanan harus dibuat dengan mengisi Borang A yang telah ditetapkan, dan boleh diperolehi dipejabat SSM. Borang A perlu dilengkapkan dengan maklumat-maklumat berikut:

· nama perniagaan

· bidang perniagaan

· tarikh perniagaan dimulakan

· alamat tempat perniagaan

· alamat cawangan (jika ada)

· maklumat pemilik/pekongsi

· perjanjian perkongsian (jika ada)

Setelah Borang A dilengkapkan sewajarnya, pemilik atau pekongsi perlulah menurunkan tanda tangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Keperluan-keperluan pendaftaran perniagaan baru yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:

· Warga negara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftarkan perniagaan mereka.

· Perniagaan perlu didaftarkan dalam tempoh 30 hari selepas ianya dijalankan.

· Bidang perniagaan yang dijalankan tidak boleh bertentangan dengan undang-undang.

· Lampirkan bersama sesalinan surat kelulusan kelulusan tertentu seperti permit, lesen, surat kebenaran atau surat sokongan apabila mendaftarkan perniagaan yang memerlukan kelulusan untuk bidang-bidang khusus.

· Lampirkan Borang A yang telah diisi dengan sempurna dengan dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:

1. surat kelulusan nama perniagaan

2. sesalinan kad pengenalan

3. sesalinan Perjanjian Perkongsian (jika ada)

4. sesalinan permit, lesen, surat kelulusan atau sokongan daripada agensi-agensi lain (jika ada)

Peringkat 3: Borang D

Borang Pendaftaran Perniagaan (Borang A) hendaklah dihantar sendiri oleh pemilik atau pekongsi-pekongsi firma ke pejabat pendaftar SSM yang berhampiran ataupun boleh dihantar melalui pos. Walaupun boleh dihantar melalui pos, adalah lebih baik dibuat serahan dengan tangan kerana sebarang kesilapan dalam borang dapat diperbetulkan. Seseorang yang menjalankan perniagaan tetapi tidak mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta ini, mereka didapati bersalah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahunpun atau kedua-duanya sekali. Lesen perniagaan (Borang D) akan dikeluarkan pada hari yang sama semasa hari pendaftaran dan lesen tersebut hendaklah dipamerkan di premis perniagaan.

1.7.2 Pendaftaran Perubahan Maklumat Perniagaan (Borang B)

Bagi maklumat-maklumat perniagaan yang telah berubah, pemilik atau pekongsi perlulah menyatakan maklumat-maklumat tentang perubahan tersebut dengan menggunakan borang-borang yang telah disediakan seperti berikut:

· Borang B1 – Perubahan alamat perniagaan

· Borang B2 – Perubahan dalam bidang-bidang perniagaan

· Borang B3 – Perubahan maklumat cawangan

· Borang B4 – Perubahan maklumat Pemilik/Pekongsi

(perubahan alamat dan masuk/keluar Pekongsi)

1.7.2 (a) Prosedur Pendaftaran Borang B dan Syarat-syarat

1. Setiap pemilik perniagaan mesti menurunkan tanda tangan pada Borang B yang telah dilengkapkan.

2. Sebelum mendaftarkan perubahan maklumat perniagaan, pastikan Sijil Pendaftaran perniagaan telah diperbaharui.

3. Pendafaran perubahan maklumat perniagaan hendaklah dibuat tidak melebihi 30 hari daripada tarikh perubahan.

4. Perubahan dalam bidang perniagaan hendaklah bertepatan dengan nama perniagaan.

5. Sertakan Borang B yang telah dilengkapkan bersama-sama dengan:

a. Salinan kad pengenalan rakan kongsi baru

b. Sijil Kematian bagi rakan kongsi yang meninggal dunia – bagi kes kematian rakan kongsi

c. Permit, lesen atau surat sokongan daripada agensi-agensi lain

dan hantarkan Borang B beserta dengan dokumen- dokumen yang berkaitan ke pejabat SSM yang berhampiran ataupun boleh dihantar melalui pos sahaja.

6. Perniagaan milik tunggal yang berdaftar atas nama pemiliknya sendiri seperti dalam kad pengenalan tidak boleh memasukkan rakan kongsi baru. Walau bagaimanapun, firma perkongsian boleh menukarkan statusnya kepada milik tunggal dan sebaliknya sekiranya nama perniagaan tersebut menggunakan nama dagangan.

1.7.2 (b) Pelanggaran Syarat

Seseorang yang bertanggungjawab ke atas perniagaannya, didapati meneruskan perniagaannya tanpa memaklumkan perubahan maklumat-maklumat berdaftar perniagaan melakukan kesalahan dan boleh didakwa bertanggungan atas kesalahan tersebut dengan kenaan penalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

1.7.3 Penamatan Perniagaan

Sesebuah perniagaan itu boleh ditamatkan dengan menyerahkan notis penamatan perniagaan dengan menggunakan Borang C yang telah ditetapkan. Pada kebiasaanya, perniagaan tersebut ditamatkan disebabkan oleh:

· perniagaan tersebut ditutup

· pemilik jatuh muflis

· kematian pemilik

· dengan perintah mahkamah, demi kepentingan awam dan moral.

1.7.3 (a) Prosedur Penamatan Perniagaan dan Syarat-syarat

· Borang C perlu menyatakan tarikh penamatan dan sebab-sebab perniagaan tersebut ditamatkan.

· Pemilik atau semua pekongsi perlu menurunkan tanda tangan pada Borang C yang telah dilengkapkan di hadapan pesuruhjaya sumpah.

· Sertakan Borang C yang telah dilengkapkan dengan dokumen-dokumen berikut:

1. Sijil Pendaftaran perniagaan

2. Salinan perintah mahkamah (jika berkenaan)

3. Salinan Sijil Kematian (jika berkenaan)

4. Dokumen-dokumen berkaitan muflis

· Serah simpan Borang C yang telah dilengkapkan di pejabat SSM dalam tempoh tidak melebihi 30 hari dari tarikh perniagaan itu ditamatkan

· Serah simpan penamatan Pendaftaran Perniagaan yang disebabkan oleh kematian pemilik tunggal adalah 4 bulan selepas tarikh kematian. Waris terdekat (isteri/suami, bapa atau anak) si mati dikehendaki untuk menyerahkan notis penamatan pendaftaran perniagaan tersebut. Bagi firma perkongsian, pewaris si mati atau pekongsi-pekongsi lain boleh menyerahkan notis penamatan perniagaan bagi pihak si mati.

· Serahkan notis penamatan daftar peniagaan (Borang C) ke pejabat SSM yang terdekat ataupun boleh dihantar melalui pos. Tiada sebarang fee dikenakan untuk menamatkan pendaftaran perniagaan.

1.7.3 (b) Perlanggaran Syarat

Seseorang yang bertanggungjawab ke atas perniagaannya atau wakil kepada individu atau waris terdekat atau rakan kongsi yang masih tinggal didapati gagal untuk menyerahkan notis penamatan perniagaan yang telah ditutup, melakukan kesalahan dan boleh didakwa kerana bertanggungan atas kesalahan tersebut dengan kenaan penalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

1.7.4 Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan

Sijil Pendaftaran Perniagaan perlu diperbaharui setiap tahun atau setiap tidak melebihi 5 tahun. Kegagalan memperbaharui pendaftaran perniagaan menyebabkan perniagaan anda tidak sah, dan sebarang perniagaan yang tidak sah menyebabkan sesuatu kontrak itu batal. Oleh itu, sesuatu pendaftaran perniagaan perlu sentiasa berada dalam keadaan tarikh yang belum luput.

1.7.4 (a) Prosedur Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan

Borang A1 (Permohonan Memperbaharui Pendaftaran) mengandungi maklumat-maklumat seperti berikut:

· Maklumat tentang perniagaan

· Status perniagaan

· Perubahan dalam bidang perniagaan yang didaftarkan

· Pemilik atau seseorang rakan kongsi hendaklah menurunkan tanda tangan mereka pada Borang A1

· Permohonan memperbaharui pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat 30 hari sebelum tarikh perniagaan tersebut tamat.

· Borang A1 yang telah lengkap hendaklah diserahkan di pejabat SSM yang berdekatan ataupun boleh dihantar melalui pos.

1.7.4 (b) Pelanggaran Syarat

Seseorang yang meneruskan perdagangannya selepas tamat tempoh tarikh pendaftaran perniagaannya telah melakukan kesalahan dan bertanggungan untuk dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh yang tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

1.7.5 Fee Pendaftaran

Fee pendaftaran perniagaan, perubahan maklumat perniagaan dan juga pembaharuan pendaftaran perniagaan adalah seperti dalam Jadual 1 di bawah.

Peruntukan

Keterangan

Fee (RM)

Carian Nama

Peruntukan 3

Pendaftaran Perniagaan dan Sijil Perniagaan

· Milik Tunggal (gunakan nama sendiri)

· Milik Tunggal (gunakan nama perniagaan)

· Perkongsian

30.00/tahun

60.00/tahun

60.00/tahun

Subseksyen 5(4)

Sijil Perniagaan untuk setiap setiap cawangan

5.00

Peruntukan 5

Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan

· Milik Tunggal (gunakan nama sendiri)

· Milik Tunggal (gunakan nama perniagaan)

· Perkongsian

· Pembaharuan Sijil Perniagaan untuk setiap cawangan

30.00/tahun

60.00/tahun

60.00/tahun

5.00

Peruntukan 6

Perubahan Maklumat Perniagaan

20.00

Peruntukan 14

Pemeriksaan Daftar Perniagaan

Pemeriksaan Fail

Salinan Sah

Salinan Tanpa Pengesahan

Salinan Sah Sijil Pendaftaran Perniagaan

Data Statistik Perniagaan yang Berdaftar

Lain-lain maklumat

10.00

10.00

5.00/salinan

1.00/salinan

10.00/salinan

20.00/salinan

10.00/salinan

Jadual 1: Fee Pendaftaran, Perubahan Maklumat Perniagaan dan Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan



[1] Seksyen 22 APP 1957

[2] Seksyen 12(1)(b) APP 1957

[3] Seksyen 12(2) APP 1957

[4] Seksyen 6 Akta Perkongsian 1961

[5] Seksyen 14(3)(b) Akta Syarikat 1965

[6] Seksyen 34(1) Akta Perkongsian 1961

[7] Seksyen 35(1) Akta Perkongsian 1961

[8] Seksyen 35(2) Akta Perkongsian 1961

[9] Seksyen 34(1)(c) Akta Perkongsian 1961

[10] Seksyen 34(2) Akta Perkongsian 1961

[11] Seksyen 37 Akta Perkongsian 1961